BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 4 November 2010

Seni Ukir Labu

Beberapa bulan diperlukan bagi membolehkan buah labu membesar secukupnya, tetapi dua jam di tangan Ray Villafane, ia boleh bertukar bentuk menjadi pelbagai imej yang mempesonakan. Bagi bekas guru itu, dia hanya memerlukan sudu dan pisau kecil untuk mengukir buah labu itu dan mengubahnya menjadi imej menakutkan seperti biasa digunakan sempena sambutan Halloween.
Seperti dijangka, Villafane memang sangat cerewet ketika menghasilkan ukiran berkenaan. Kini bekerja untuk syarikat penerbit komik DC dan Mar- vel, Villafane berkata, tidak semua buah labu boleh menjalani transformasi di tangannya. Katanya, selain bentuk, berat buah labu juga sangat penting.

“Anda mesti mendapatkan buah paling banyak isi. Kadangkala saya mengambil buah labu yang mempunyai bentuk menarik, tapi kemudian saya sedar beratnya tidak mencukupi,” katanya.

Menurut Villafane, jika berat buah labu tidak mencukupi, ukiran yang menarik tidak boleh dibuat kerana isinya tidak tebal.

“Saya juga suka buah labu yang ada perwatakan, misalnya memiliki lekuk ketara kerana ia boleh dimanfaatkan untuk membentuk hidung,” katanya.
Disebabkan kemahiran dan keunikan seni itu, Villafane, 41, menikmati populariti tersendiri di Amerika Syarikat dan publisiti meluas diberikan kepadanya. Sehingga kini, banyak hasil tangannya menjadi tumpuan program televisyen. Menceritakan latar belakang bidang diceburinya, Villafane berkata, ia berlaku secara kebetulan.

“Selama 13 tahun menjadi guru di Michigan, tiba-tiba saya diminta seseorang untuk mengukir buah labu sempena kedatangan Halloween.

“Disebabkan kerja mengukir memang menjadi minat saya, tawaran itu diterima kerana saya mahu mencuba kemahiran sendiri,” katanya.

Disokong dengan minat mendalam dalam bidang itu, Villafane melakukan kerja seni itu dengan mudah — seolah-olah dia membentuk tanah liat.

“Hasilnya, ukiran itu menambat hati pelbagai pihak dan menggembirakan sekolah,” katanya.

Disebabkan kemahirannya, dia pernah terkejut apabila mendapati berpuluh-puluh buah labu dilambakkan di dalam kelasnya menunggu untuk diukir. Kini menetap di Bellaire, Villafane mengaku kemahiran itu tidak dicapai dalam sekelip mata. Katanya, dia terpaksa menghabiskan banyak buah labu ketika dalam proses belajar dan memahirkan dirinya dalam seni itu. Namun, dengan pengalaman dan persekitaran kerja di syarikat penerbitan komik — antara produk DC yang terkenal adalah Superman dan Batman — banyak membantu Villafane. Sejak empat lalu, hasil tangan Villafane membantu menaikkan namanya dan menjadikan dia tokoh terkenal di Internet dan televisyen.

“Selama beberapa tahun kebelakangan ini, saya benar-benar memberi sepenuh perhatian kepada rekaan buah labu kerana ia semakin menarik minat saya,” katanya.

Namun di sebalik populariti itu, Villafane mengaku dia mengalami sedikit tekanan. Antara lain, katanya, disebabkan harapan tinggi orang ramai terhadap ukirannya.

“Ukiran paling sukar saya pernah buat adalah bentuk Zipperhead (wajah dengan kesan berjahit di seluruh muka) yang memerlukan masa seharian untuk disiapkan,” katanya.
 
 http://www.hmetro.com.my/articles/Seniukirlabu/Article

0 comments: