BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 4 November 2010

Seni Tatu Tradisional Iban

Oleh Siti Aiyshah Baslie

''Tatu adalah lambang peribadi, bukan untuk menunjukkan kekuatan atau simbol kejahatan tetapi lebih kepada apresiasi seni," kata Ernesto Kalum, 39, Pemilik Borneo Headhunter Tatoo And Piercing Studio Kuching.
Tatu berasal daripada perkataan Tahiti yang bermaksud melakar sesuatu. Lakaran itu pula membawa erti cacah pada badan seseorang yang menghasilkan rekaan seni hasil daripada kreativiti dan imaginasi seseorang artis. Seni tatu kini dianggap fesyen dan semakin ramai orang yang mencuba melakar tatu pada badan mereka.
Menurut Kalum, tatu bukan sahaja menjadi kegilaan golongan remaja, malah warga emas berusia 70 tahun pun pernah menjadi pelanggan tatu di studionya. ''Tatu lahir daripada minat seseorang, tidak kira tua atau muda. Sesiapa sahaja boleh membuat tatu di badan mereka, ia hanyalah persoalan bersedia atau tidak," katanya.
Ernesto yang mula membuka studio tatu miliknya di Wayang Street Kuching sejak lebih 10 tahun yang lalu memberitahu, ada juga remaja yang terikut-ikut dengan rakan mereka untuk membuat tatu. Malah ada yang berpendapat memiliki tatu adalah satu cara hidup yang baru.
''Ada orang cakap, tatu adalah trend, bagi saya tidak, kerana trend boleh berubah- ubah sedangkan tatu adalah sesuatu yang kekal," ujarnya.
Bagaimanapun, dia bersetuju dengan pendapat yang mengatakan tatu adalah seni halus yang harus diteruskan dan diangkat menjadi sesuatu yang diiktiraf, lebih-lebih lagi tatu tradisional.
''Corak tatu bunga terung kaum Iban paling mendapat sambutan, terutamanya oleh pelancong asing.
''Mereka lebih menghargai tatu tradisional kita, sedangkan orang kita semakin taksub terhadap tatu kontemporari," katanya. Menurutnya, sebelum seseorang pelanggan itu hendak membuat tatu, satu sesi kaunseling akan dilakukan. Sesi kaunseling ini diadakan terutamanya kepada mereka yang pertama kali hendak melakar tatu di badan.
''Ia penting kerana tatu adalah sesuatu yang kekal dan tidak boleh dipadam begitu sahaja.
''Saya tidak akan melakar tatu pada badan mereka sehinggalah mereka betul-betul bersedia untuk itu," katanya
Studio Ernesto bukan sahaja terkenal di kalangan orang tempatan malah, dari seluruh dunia kerana dia melakar tatu menggunakan cara tradisional dan moden. Ada yang datang jauh dari Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura semata-mata untuk membuat tatu di studio milik Ernesto ini. Ernesto juga pernah memenangi beberapa anugerah atas sumbangan dan kecemerlangannya membawa seni tradisi tatu etnik Iban di persada dunia.
Bagi sesiapa yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai studio milik Ernesto, boleh menghubunginya di talian 019-8566317 atau pergi ke studionya, Borneo Headhunters Tattoo and Piercing Studio, Tingkat 1, 47 Wayang Street, 93250 Kuching, Sarawak.
-utusansarawak@utusan.com.my-

0 comments: