BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Khamis, 4 November 2010

Guru : Refleksiku Terhadap Pengajaran & Pembelajaran

Pengajaran adalah satu seni atau kraf, tetapi berasaskan sains tingkah laku manusia.
Amalan pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti. Guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar. Pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh. Pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.
Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang. Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri. Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar.
Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar. Dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan. Bagi memastikan perkara itu, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan. Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum. 
Justeru itu, guru memainkan peranan penting dalam proses pengajaran bagi memastikan pelajar belajar sesuatu melalui aktiviti yang dilakukan. Merekabentuk aktiviti pembelajaran memerlukan bukan sahaja pengenalpastian faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran, tetapi guru perlu memahami bagaimana pelajar belajar. Ini kerana cara pelajar mempelajari sesuatu mata pelajaran menggambarkan sebahagian daripada kecenderungan dan orientasi mereka dalam proses pembelajaran. Ini dapat mencerminkan sedikit sebanyak ciri-ciri pelajar misalnya budaya, latar belakang serta cara hidup dan bahasa yang pelbagai. Maka, pemahaman yang baik tentang pembelajaran pelajar perlulah mengambil kira pelbagai elemen. Sekiranya pelajar ingin mempelajari sesuatu melalui cara yang berkesan dan bersesuaian, maka tugas asas guru adalah membimbing pelajar dalam aktiviti pembelajaran yang membolehkan pelajar memperolehi pencapaian tersebut. Adalah penting untuk diingatkan bahawa apa yang dilakukan oleh pelajar adalah lebih penting daripada apa yang dilakukan oleh guru.
Apabila mempertimbangkan pembelajaran pelajar, terdapat pelbagai perspektif yang bertentangan. Perspektif bertentangan yang dimaksudkan di sini adalah berpusatkan konsep ilmu pengetahuan yang berbeza. Ini kerana ada golongan yang melihat ilmu pengetahuan sebagai sesuatu yang diskrit dan boleh membentuk elemen bersiri yang perlu diingat dan disepadukan. Maka mengikut perspektif ini, pembelajaran berlaku apabila ilmu pengetahuan telah diberitahu atau disampaikan. Manakala ada golongan yang beranggapan bahawa pembelajaran berlaku secara tidak langsung melalui pengalaman harian. Ini kerana seseorang akan memperolehi ilmu pengetahuan apabila sesuatu yang bermakna telah terbentuk melalui aktiviti hariannya. Menurutnya lagi, pendekatan pembelajaran meliputi kedua-dua aspek niat dan strategi dalam proses pembelajaran. Ini bermakna, niat dan strategi pembelajaran seterusnya akan mempengaruhi kualiti hasil pembelajaran. Dengan kata lain, pegangan konsep pengetahuan yang berbeza akan menghasilkan pendekatan pembelajaran yang secara langsung memberi impak kepada kualiti pembelajaran.
Oleh yang demikian, pendekatan pembelajaran menjadi satu perantaraan yang tidak boleh diabaikan. Peranan guru adalah membantu dan membimbing pelajar ke arah mencapai matlamat pendidikan kini. Seorang guru tidak hanya memberi ilmu dengan pendekatan yang telah diberikan sebelum ini, mereka berhak untuk melahirkan pelajar yang aktif, kreatif malah mempunyai pemikiran yang kritis. Pusat sumber selalunya mempunyai kelengkapan yang terdiri dengan komputer mahupun buku-buku rujukan. Di sini, guru memainkan peranan penting dalam mengaktifkan pelajar dalam mencari bahan-bahan yang diperlukan. Guru seharusnya tahu akan bahan yang terdapat di dalam pusat sumber agar guru boleh berfikir dan berperanan sebagai seorang fasilitator. Guru harus mengajar dengan meminta pelajar melakukan secara aktif menerusi aktiviti yang berkait rapat dengan apa yang diajarinya serta penggunaan pusat sumber sepenuhnya. Menerusi aktiviti pelajar boleh memahami dengan lebih dekat danmendalam apa yang ingin disampaikan oleh guru. Ia mestilah berunsurkan aktiviti dan pembelajaran yang menekankan penguasaan kemahiran tertentu, yang digabungkan dengan pembelajaran konsep dan teori. Pengajaran ini boleh merupakan strategi belajar dan mengajar yang sungguh berkesan di mana guru bertindak memberi arahan kepada pelajar untuk mencari dan menggunakan bahan yang ada di pusat sumber sepenuhnya, serta peranan guru adalah membimbing pelajar dalam melaksanakan aktiviti tersebut.
Renungkanlah..

0 comments: